Tudung Bawal Jadi Pilihan Utama di Musim Raya
Tudung bawal jadi pilihan gaya di Aidilfitri
KOTA BHARU: Biarpun terdapat pelbagai jenis hijab dan trend pemakaiannya yang berubah-ubah, namun tudung bawal masih tetap menjadi pilihan kaum wanita termasuk untuk digayakan pada Aidilfitri tahun ini.
Tinjauan di sekitar bandar ini mendapati rata-rata peniaga hijab dan orang ramai yang ditemui yakin tudung yang pernah meraih populariti pada tahun 90-an itu, tetap relevan dan tidak lapuk ditelan zaman dalam dunia hijab tempatan.
Tudung bawal mudah diperoleh sama ada di pusat perniagaan seperti Pasar Siti Khadijah, Pasar Buluh Kubu, Pasar Malam Wakaf Che Yeh, Bazar Tok Guru malah di butik yang banyak terdapat di negeri ini.
Pengurus butik tudung bawal As Galleria by Bawal Exclusive Rabiatu Hasmak Ghani berkata jualan tudung bawal di butiknya berganda pada bulan ini berikutan pelanggan mula membuat pembelian untuk digayakan pada Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Jualan tudung bawal sahaja mencecah puluhan ribuan ringgit sehari, membuktikan tudung bawal masih menjadi pilihan dalam kalangan kaum wanita kini,” katanya ketika ditemui Bernama di butiknya di Lembah Sireh di sini, Rabu.
Beliau berkata tudung bawal memang menjadi pilihan dan ‘kegilaan' orang Kelantan setiap masa.
“Tudung bawal boleh dikatakan dekat di hati orang Kelantan, jika dilihat masih ramai peniaga yang menjual tudung bawal di sekitar negeri ini, secara logik, jika tiada permintaan maka tidak akan ada jualan tudung bawal ini secara meluas,” katanya.
Pemakai tudung bawal Noor Sofea Qistina Abdul Rahman, 27, berkata tudung bawal menjadi pilihannya kerana tudung tersebut adalah satu rekaan yang sangat unggul.
“Bentuk empat seginya mungkin dilihat ringkas, namun ia boleh dipelbagaikan seperti dipendekkan, dilabuhkan, dipusing, dililit kemas sekali gus mencipta varian gaya termasuk turban jika pemakai pandai menggayakannya,” katanya.
“Sekarang pula ia menjadi trend, orang ramai mula memakai tudung bawal berkonsepkan manik tabur, jadi untuk hari raya nanti, trend ini akan dijadikan pilihan untuk saya gayakan,” katanya.
Siti Nor Aida Ariffin, 27, berkata walaupun timbul pelbagai jenis fesyen tudung sekarang, tetapi tudung bawal masih tetap menjadi pilihannya.
“Apa yang membuatkan saya suka menggayakan tudung bawal, ia boleh membuat si pemakai kelihatan runcing dan tirus jika dibandingkan dengan memakai selendang,” katanya. - BERNAMA
Sumber - https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2018/05/30/tudung-bawal
Petikan daripada mstar bagi sesiapa yang meminati bisnes tudung pada musim raya. Kebanyakan penjual memilih tudung yang paling laku pada musim raya akan datang. Cadangan pilihan tudung yang laris ialah tudung bawal kerana harganya yang murah dan berpatutan.
Untuk mengetahui jenis tudung yang paling laku dan dari mana nak dapat tudung murah untuk dijual musim raya akan datang boleh tengok kat sini. Rahsia Bisnes Tudung
Comments
Post a Comment